Latar tempat Bleach

Hampir kesemua tempat yang dipaparkan dalam Bleach menggambarkan dunia nyata, alam barzakh dan kepercayaan manusia. Manusia hidup menetap di dunia seperti sedia ada; roh yang telah dikebumikan tinggal di Soul Society yang seakan-akan syurga; roh yang terdampar pula tinggal di Hueco Mundo; roh jahat akan dihantar ke neraka. Apabila tiba di Soul Society, roh dapat hidup dengan lebih lama dan banyak juga yang berusia lebih daripada seribu tahun. Apabila satu roh mati di Soul Society, dia akan dihantar semula ke dunia nyata dan dilahirkan semula sebagai manusia baharu. Keadaan ini menjamin keseimbangan alam.

  • Dunia manusia: Dunia manusia dalam Bleach ialah Jepun moden. Lebih tepat lagi, kawasan tersebut ialah Bandar Karakura di Tokyo Barat. Di dunia ini, Ichigo menghadiri sekolah menengah dan menentang hollow. Tempat-tempat utama di sini ialah sekolah menengah, Kedai Urahara, sungai tempat ibu Ichigo dibunuh, kubur serta rumah Orihime dan Ichigo.
Soul Society
  • Soul Society: Terdiri daripada tembok besar yang mengelilingi sebuah bandar di tengah-tengah yang dikenali sebagai Seireitei (Perkarangan Roh Suci) dan empat bahagian (utara, selatan, barat, timur), masing-masing mengandungi 80 daerah di luar. Daerah-daerah di luar Seireitei dikenali sebagai Rukongai (Pekan Roh Merempat) dan merupakan tempat tinggal roh yang bukan shinigami dan bukan bangsawan. Nombor daerah Rukongai dari 1 hingga 80 juga menggambarkan keadaan kehidupannya. Daerah 1 aman dan bertertib manakala Daerah 80 dipenuhi oleh penyangak dan mempunyai suasana kehidupan yang teruk. Seorang raja menetap di alam yang lain dalam Soul Society tetapi tidak banyak yang diketahui tentangnya.
  • Hueco Mundo: Merupakan tempat di antara dunia manusia dengan Soul Society. Tempat ini ialah kawasan kediaman hollow semasa mereka tidak memburu roh manusia di dunia nyata atau Soul Society. Jalan masuk ke Hueco Mundo ialah retakan dimensi di dunia manusia atau Soul Society.
  • Neraka: Roh yang telah melakukan jenayah berat semasa hidup akan dihantar ke sini. Apabila topeng kepada sesuatu hollow yang terlalu kejam dan zalim dibelah oleh zanpakutō, pintu neraka (pintu gergasi yang disokong oleh rangka manusia) muncul dan terbuka. Satu makhluk besar yang memegang sebilah tombak akan menikam roh jahat tersebut dan menariknya ke neraka.

Watak-watak Bleach bergerak dari satu dunia ke dunia yang lain melalui beberapa kaedah. Roh manusia biasanya boleh melintas ke atau dari Soul Society masing-masing melalui upacara pengebumian roh atau kelahiran semula. Tetapi, manusia hidup boleh menggunakan gerbang khas untuk bergerak ke dunia lain. Shinigami boleh membuka jalan di antara dunia tertentu dengan menggunakan zanpakutō. Kupu-kupu yang dihasilkan semasa pengebumian roh yang dinamakan rama-rama neraka menjamin keselamatan perjalanan. Hollow boleh terus mengoyak dimensi untuk ke dunia sebenar atau Soul Society tetapi jarang berbuat demikian kerana takut dikesan oleh shinigami. Jadi, mereka biasanya akan tinggal di Hueco Mundo.